Judul : Reformasi politik bermula dengan niat dan amal yang bersih
link : Reformasi politik bermula dengan niat dan amal yang bersih
Reformasi politik bermula dengan niat dan amal yang bersih
Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Hanya satu sahaja Pilihanraya Negeri (PRN) berlaku tahun ini iaitu di Sarawak. Dua lagi PRN (Pulau Pinang dan Terengganu) yang diwar-warkan akan berlangsung sengit dan getir, tidak menjadi kenyataan.
Secara langsung atau tidak ia mendinginkan sedikit suhu politik Malaysia yang turut terkesan dengan masalah kelembapan ekonomi dan ancaman keganasan merentas sempadan seluruh dunia.
PRN Sarawak Mei lalu melonjakkan sedikit darjah keyakinan diri Barisan Nasional (BN). Dua Pilihanraya Kecil (PRK) parlimen (Kuala Kangsar dan Sungai Besar) yang mengekorinya mengendurkan lagi semangat pembangkang, khususnya Pakatan Harapan.
Idea mengadakan PRN Pulau Pinang adalah inisiatif DAP untuk menyekat membuaknya momentum sokongan rakyat sekali lagi pada Umno-BN.
Pada masa sama, DAP mahu mengalih semula pandangan dan sokongan rakyat kepada pembangkang yang amat bangga mengutip 51 peratus undi majoriti dalam Pilihanraya Umum ke-13 tiga tahun lalu.
PRN Pulau Pinang adalah senjata serampang pelbagai mata DAP untuk melindungi integriti Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng daripada diremukkan oleh pertuduhan jenayah rasuah.
DAP mahu menterbalikkan keyakinan BN menggunakan PRN dan sekaligus melonjakkan harapan bersama PKR dan Amanah bahawa ia sudah bersedia menghadapi pilihanraya umum ke-14, selewat-lewatnya 2018.
Sementara di Terengganu, kemungkinan PRN berlaku didorong oleh hakikat rapuhnya kedudukan Umno yang memerintah negeri itu dek serakah politik peribadi bekas menteri besar negeri itu.
Datuk Seri Ahmad Said terpaksa melepaskan jawatan berkenaan dua tahun lalu kerana prestasi kepimpinannya agak longlai hingga Umno hanya mampu mempertahankan 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam PRU 2013.
Malangnya beliau sukar menerima hakikat itu dan terus berusaha untuk membuktikan penggantinya, Ahmad Razif Abdul Rahman bukanlah calon yang lebih baik daripadanya.
Gelagatnya mengusulkan undi tidak percaya terhadap menteri besar dalam sidang Mac lalu terhalang oleh keputusan Speaker yang mendapati inisiatif itu tidak menurut peraturan Dewan.
Bagaimanapun menjelang sidang Dewan Isnin lalu, beliau membadai kerajaan Umno-BN dengan satu lagi ugutan undi tidak percaya. Meskipun usaha itu tidak berjaya diketengahkan kerana tiada sokongan, kestabilan politik Terengganu tergugat.
Pun begitu Ahmad Said tidak menolak kemungkinan untuk terus menggugat kerajaan Umno kerana “beliau masih sayangkan Umno”. Beliau cuma tidak mahu Umno Terengganu dipimpin Ahmad Razif.
Logik politik Ahmad Said memang pelik. Mungkin beliau terpengaruh dengan pemikiran politik Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa oleh kerana beliau pernah memimpin Umno maka beliau berhak menentukan siapakah yang patut dan tidak patut menjadi presiden Umno.
Ahmad said tidak mahu Ahmad Razif menjadi menteri besar. Beliau berasa berhak mengambil pendirian itu kerana beliau pernah menjadi menteri besar.
Politik ala Ahmad Said ini sebenarnya bukan baru di Malaysia. Pemikiran bahawa “jika aku tidak mendapat jawatan yang dihajati, maka orang lain pun tidak patut dapat” sudah lama menular dalam budaya politik Malaysia.
Lantas membujur lalu melintang patah. Sesiapa sahaja yang cuba mengisi sesuatu jawatan idamannya adalah musuhnya. Ia berlaku dalam semua parti politik.
Lebih ketara lagi, ada ahli politik yang mengidamkan sesuatu jawatan tetapi gagal mencapainya, maka jalan singkat ialah menubuhkan parti baru di mana beliau boleh memilih jawatan apa yang disukainya.
Hal ini sudah dapat disaksikan dalam kes parti-parti politik serpihan seperti Semangat 46, Ikatan, Amanah dan yang akan datang Parti Pribumi Bersatu.
Ada tokoh politik yang bersaing untuk jawatan ketua pemudapun tidak mampu, dengan bangga menduduki kerusi naib presiden dalam parti baru bikinannya.
Nafsu politik begini hanya membuang masa rakyat. Ia hanya mengeruhkan lagi iklim politik negara. Hampir kesemuanya pemimpin bikinan sendiri ini mendakwa bertindak demikian kerana langkah itu diizinkan oleh demokrasi.
Walhal niat sebenarnya ialah untuk menempatkan diri pada kerusi empuk politik yang lazimnya datang dengan segala kuasa, kemewahan dan pelbagai keistimewaan lainnya.
Namun tragedi dua PRN yang tidak menjadi tahun ini amat terasa oleh sebuah parti yang baru akil baligh – Parti Amanah Negara.
Setelah kecewa dalam percubaan sulung bertanding dalam PRN Sarawak, ia menemui dua lagi kekalahan dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Bak anak muda yang baru mumaiyiz, Amanah mengimpikan ada lagi PRN berlaku dan berpeluang menguji kekuatannya. Walhal apa yang dilakukannya itu ialah menambah luka perpaduan di kalangan rakyat.
Mujur PAS kini merintis jalan lain. Ia boleh memburukkan lagi keadaan dalam Umno dan menyokong Ahmad Said. Sudah tentu mudah bagi PAS menjemput wakil tunggal PKR untuk bersamanya menubuhkan kerajaan Terengganu.
Namun PAS ada prinsip – budaya politik matang dan sejahtera. Dalam PRU 13 rakyat Terengganu memilih Umno untuk memimpin negeri itu. Mandat itu harus dihormati. Maka PAS menentukan pendirian tidak mahu menangguk di air keruh.
PAS biarkan Ahmad Said dan Ahmad Razif menentukan siapa di antara keduanya yang “lebih kasih pada Umno” dan mahu memperjuangkan kebajikan dan nasib rakyat.
PAS sedia menanti PRU datang lagi dan bertarung untuk menawan hati rakyat. Mungkin PAS insaf terbubarnya kerajaan PAS Perak selepas PRU 2008 ialah apabila PKR cuba memingit seorang ADUN Umno menyertai PKR.
Tindakan balas Umno-BN ialah memancing dan menawan seorang ADUN DAP dan dua Adun PKR sendiri. Iktibar yang harus diambil daripada politik songsang begini ialah jauhi politik curang dan padamkan politik dendam.
Demikianlah Artikel Reformasi politik bermula dengan niat dan amal yang bersih
Sekianlah artikel Reformasi politik bermula dengan niat dan amal yang bersih kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Reformasi politik bermula dengan niat dan amal yang bersih dengan alamat link https://kukasihberita.blogspot.com/2016/08/reformasi-politik-bermula-dengan-niat.html