Judul : Najib Terus Dengan Sindrom Penafiannya
link : Najib Terus Dengan Sindrom Penafiannya
Najib Terus Dengan Sindrom Penafiannya
KEMELUT dan masalah Najib dan kerajaannya bukanlah satu perkara baharu tetapi telah lama menjadi bahan persoalan kepada rakyat jelata.
Semasa beliau menguasai tampok pemerintahan, semua ini telah dibendung dan dikawal rapi daripada disiasati dan tindakan undang-undang. Hanya selepas beliau hilang kuasa ekoran dari kekalahan BN dan Umno didalam PRU 14 baru-baru ini, barulah masalah-masalah tersebut dapat diselongkar untuk pengetahuan umum dan disusuli dengan tindakan undang-undang.
Ketika Najib mula-mula dinobatkan sebagai PM ke-6, sudah ada pihak-pihak tertentu yang mengenali beliau secara dekat dan rapat yang telah menyuarakan keraguan dan kesangsian mereka tentang kebolehan dan kesesuaiannya untuk memegang jawatan tersebut.
Sebagai peneraju utama iaitu "numero uno" kepada sebuah negara yang mempunyai cita-cita besar dengan warisan pencapaian tinggi yang telah ditinggalkan oleh Tun M sebagai tanda aras ukurannya. Persoalan dan pertikaian telah ditimbulkan tentang wawasannya yang kabur untuk Negara Malaysia, ketokohannya sebagai seorang pemimpin, keperibadiannya yang dikatakan cenderung kepada kemewahan dan keseronokan, kelayakan akademiknya dan sebagainya.
Namun pada ketika itu banyak pihak berpendapat dan percaya bahawa sesiapa sahaja dari barisan pemimpin tertinggi Umno adalah jauh lebih baik daripada Pak Lah yang dianggap begitu lemah kepimpinannya.
Najib dengan latar belakangnya dari keluarga aristokrat dan anak kepada bekas Perdana Menteri, penampilan luarannya yang halus serta budi bahasanya yang baik dengan persiapan dan latihan semasa bekerja bertahun-tahun untuk jawatan tinggi adalah difikirkan calon yang terbaik untuk menggalaskan tugas itu.
Malah Tun M juga turut memperagakannya sebagai pengganti yang sesuai. Dan bagi sebuah negara yang sudah biasa dengan skandal-skandal besar , orang ramai juga bersedia untuk mengenepikan persoalan dan keraguan yang masih terpahat diminda mereka tentang kes Altantuya yang mati dalam keadaan penuh misteri dan menggerunkan. Juga persoalan tentang fi khidmat yang besar sebanyak RM500 juta yang dibayar oleh kerajaan kepada sebuah syarikat kepunyaan pembantu rapat Najib, iaitu Razak Baginda di dalam kes Scorpene. Kesemua ini telah diketepikan tetapi kekal tanpa jawapan yang memuaskan sehingga ke hari ini.
Kiranya pada masa itu rakyat mahu mara ke depan untuk melakar sejarah baru yang lebih gemilang daripada era Pak Lah. Maka mereka meletakkan harapan dan impian kepada Najib untuk memimpin mereka dengan baik dan berwibawa. Tidaklah sampai mengharapkan beliau dapat menurut jejak langkah Tun M kerana ramai yang menganggap pencapaian Tun M cukup sukar untuk ditiru atau diulangi.
Bagi kebanyakan orang, sudah mengcukupi dan memadai jika Najib dapat bertindak sebagai PM yang menegak dan mempertahankan keluhuran undang-undang, menjamin ketenteraman awam, memperlihatkan sifat integriti yang tinggi dalam sistem pemerintahannya serta mendorong negara melalui contoh teladan yang baik. Pokoknya rakyat hanya mengharap Najib bertindak jujur, bekerja keras dan tekun sebagai PM untuk memimpin negara dan rakyat. Malang sekali jalan ceritanya tidak begitu jadinya. Jauh daripada mempergunakan peluang dan kuasa yang ada padanya untuk membaiki keadaan dan dirinya, Najib kelihatan semakin berani di dalam tindakan-tindakannya sehingga mencetuskan lebih banyak lagi skandal-skandal berskala besar. Sama ada dengan dirinya sebagai dalang utama atau bersekongkol dengan rakan-rakan dan kroni politiknya. Selain daripada skandal 1MDB, skandal-skandal besar lain termasuklah kes Felda/FGV, TRX, Pembinaan PFI, HSR, ECRL dan sebagainya.
Sampai satu tahap dan ketika, Najib sudah tiada jalan pulang lagi. Beliau telah terlajak jauh dengan kes dan skandal-skandal tersebut. Alhasilnya beliau terpaksa menutup keterlanjurannya dengan berbagai helah dan hujah. Lama kelamaan ianya menjadi satu pola dan ciri kepemimpinannya.
Walaupun begitu, beliau mungkin berpendapat bahawa beliau memiliki cukup kuasa, wibawa dan wang ("cash is king") untuk membeli dan meraih sokongan daripada penyokong dan psikopant untuk mengawal keadaan dan membendung masaalah. Apatah lagi beliau telah mengumpulkan segerombolan penasihat tempatan dan antarabangsa yang mahal bagi menasihati dan merangka strateji umtuknya.
Modus operandi yang sering mereka gunakan, antara lainnya, termasuklah serangan terhadap kredibiliti pengkritiknya dan pembidasnya, menyuap gula-gula kepada mereka yang sanggup menjual maruah dan menodai parti atau institusi yang lemah dari segi moral dan nilai.
Rakyat menyaksikan perkembangan ini dengan penuh gerun dan rasa bimbang. Sistem politik, keunggulan nilai dan idealisma demokrasi terus merosot dan terhakis. Semakin ramai orang mula mempersoalkan dan mempertikaikan tindakan beliau dan kerajaannya.
Namun semua ini dipandang remeh oleh Najib. Soalan yang diketengahkan sama ada diketepikan begitu sahaja atau dianggap tidak relevan. Teori konspirasi turut dilaung dan dicanang sebagai benteng pertahanan terhadap pelbagai tuduhan keatas Najib. Alasan pembelaan utama Najib ialah beliau telah difitnah dengan pembohongan, kenyataan tidak benar, putar belit, dan propaganda yang direka-ciptakan oleh pengkritik dan pembidasnya. Mereka dikatakan mencemburuinya, terkilan dan terpinggir daripada agendanya untuk menyusun semula dan mentransformasikan negara ini selaras dengan visi 1Malaysianya.
Ramai pengkritiknya didakwa dan ditindas. Rafizi, Tony Pua, Claire Rewcastle merupakan antara segelintir nama yang dicerca habis-habisan oleh Najib dan konco-konconya. Malah Tun M juga tidak terlepas daripada penghinaan dan kata-kata aib daripada Najib dan pengikutnya.
Maka tidaklah menghairankan PRU14 menjadi satu referendum terhadap diri dan kredibiliti Najib sebagai pemimpin dan Perdana Menteri serta pencapaian kerajaannya sepanjang pemerintahannya.
Keputusan PRU 14 jelas, nyata, terang lagi bersuluh . ‘Res ipso loquitor’. Kenyataan dan hakikat membuktikan segala-galanya. PRU 14 ini akan dikenang sebagai peristiwa paling bermakna dalam sejarah negara kita. Banyak yang telah diperkatakan tentang PRU14 ini. Tiada apa-apa lagi yang perlu diulang di sini tentang perkara ini.
Apabila kerajaan baharu di bawah PH mula mengaudit buku-buku dan menyiasati kes-kes ini, mereka mendapati masalah berkenaan adalah lebih besar daripada yang dijangkakan. Sebagai contoh, liabiliti negara berada pada tahap melebihi RM1 trilion dan bukannya RM600j seperti yang dilaporkan dan diisytiharkan oleh Najib dan kerajaannya.
Kerugian dan keterdedahan 1MDB pula adalah dua kali ganda daripada angka RM42b seperti yang dianggarkan sebelumnya. Malah jumlah implikasi kewangan bagi skandal besar dan projek besar lain adalah jauh melebihi daripada yang dilaporkan terdahulu secara rasmi.
Sekali lagi Najib dan barisan penyokongnya mengulangi mantera pertahanannya. Bahawa dia adalah mangsa fitnah dan pembohongan oleh pengkritik-pengkritiknya. Dan apabila kerajaan baharu bertindak lambat untuk memulakan tindakan undang-undang, mereka mempertingkatkan serangan dengan cemuhan bahawa kerajaan baharu hanya berani bercakap tapi takut untuk bertindak. Kononya tiada bukti kukuh untuk mendakwa Najib di mahkamah.
Apabila agensi penguatkuasaan undang-undang mula memburu bukti, termasuklah serbuan demi serbuan pada beberapa lubuk kediaman dengan berjuta-juta wang tunai ditemui, berserta barang kemas turut dijumpai, maka Najib mula memberi gambaran bahawa beliau adalah mangsa dendam politik oleh Tun M dan konco-konconya.
Setelah Peguam Negara membuat empat pertuduhan terhadap Najib, merangkumi satu pertuduhan melibatkan penyalahgunaan kuasa di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah di bawah Kanun Jenayah berkaitan dengan RM42j daripada SRC, timbul lagi kekecohan daripada Najib dan penyokongnya. Mereka mengatakan itu semua adalah penganiayaan politik, bukan pendakwaan undang-undang yang saheh. Semuanya untuk memenuhi dendam politik.
Pada masa yang sama, Najib terus mencanangkan ceritanya bahawa beliau sebenarnya mangsa dan bukannya pelaku jenayah. Anak-anaknya juga turut merayu simpati dengan kisah sedih mereka. Namun orang ramai nampak tidak termakan dengan semua itu. Malah orang ramai mahu tuduhan berkaitan dengan kes 1MDB yang lebih besar segera dibawa ke mahkamah. Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa penyiasatan akan segera diselesaikan dan tindakan mahkamah akan menyusul.
Untuk berlaku adil kepada Najib dan kerajaannya, perlu diakui bahawa tidak kesemua tuduhan yang dilemparkan keatasnya berasas dan bersandar kepada fakta dan kebenaran. Banyak juga benda-benda yang sengaja diada-adakan atau ditokok tambah oleh musuh-musuh politiknya. Hakikatnya politik negara sudah dicemari dengan budaya fitnah dan berbagai taktik kotor dan jijik. Yang diamali oleh berbagai pihak untuk mengcapai matlamat masing-masing.
Walaupun kerajaan baharu telah mengambil sedikit masa untuk menyusun semula keadaan seperti pembentukan barisan jemaah menteri, penyusunan semula pentadbiran, kajian semula projek mega, kes-kes mahkamah dan sebagainya, namun tidak dapat dinafikan bahawa urusan negara sedang bergerak lancar ke arah yang betul di bawah kerajaan baharu ini.
Rakyat perlulah bersabar sedikit dengan kerajaan sekarang didalam usaha mereka memenuhi manifesto dan janji pilihan raya. Dan member peluang kepada kerajaan PH untuk membawa sistem pemerintahan yang baik kepada negara.
Rakyat perlulah bersifat realistik dan tidak mengharapkan hasilan yang cepat tetapi memberikan sedikit masa dan ruang untuk kerajaan baharu mengatur tindakan seterusnya. Pada masa yang sama, kerajaan juga mestilah menunjukkan sikap kesegeraannya, komitmen yang tidak berbelah bagi dan hendaklah menunaikan janji-janji mereka. Mereka tidak boleh dipesongkan oleh perselisihan dalaman atau kerenah politik antara parti dan pemimpin-pemimpin mereka.
Pada masa yang sama, kerajaan juga mestilah menangani ruang dan saluran bebas yang diberikan kepada orang awam untuk mengemukakan pandangan dan kritikan mereka. Walaupun kebebasan bersuara yang baharu ini merupakan fenomena sejagat dan menjadi tren yang tidak dapat disekat lagi, namun ianya perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab kepada undang-undang dan kepentingan negara atau umum.
Kerajaan perlulah bertindak dengan bijaksana untuk menggariskan sempadan dan meletakkan parameter yang dapat diterima umum. Agar kebebasan ini tidak menjadi lesen kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan kekacauan dan anarki didalam masyarakat kita yang berbilang bangsa dan agama. Kita perlu pastikan visi kita untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang makmur, bertenaga dan aman tidak tergugat olehnya.
Sekarang dengan kes terhadap Najib sudahpun berada di mahkamah, sewajarnya kita membiarkan perkara ini diselesaikan melalui proses undang-undang. Najib dan penyokongnya mungkin akan terus mendesak dan mencetus kontroversi serta mempolitikkan perkara ini dalam usaha meraih simpati orang ramai, mengalih pandangan dan mengelirukan rakyat.
Pihak berkuasa dan juga pengulas sosial yang bertanggungjawab mungkin perlu memberikan respons dari masa ke masa untuk menerangkan atau menjelaskan isu-isu berkenaan kepada orang ramai supaya mereka tidak terpedaya dengan perkara propaganda dan putar belit politik. Biarlah ini semua dilakukan secara profesional tanpa dorongan atau politik sempit.
Samada penjelasan yang diberi memihak kepada Najib atau kerajaan sewajarnya tidak menjadai persoalan. Yang pentingnya kerajaan PH mengambil tindakan-tindakan yang dapat menyakinkan rakyat bahawa proses undang-undang telah dijalankan dengan adil dan telus.
Yang lebih penting dan utama dari semua ini ialah kerajaan PH terus mengorak langkah dengan agenda r pembaharuan dan transformasi untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya maju, makmur, aman dan damai.
WAN HARON WAN HASSAN
Demikianlah Artikel Najib Terus Dengan Sindrom Penafiannya
Sekianlah artikel Najib Terus Dengan Sindrom Penafiannya kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Najib Terus Dengan Sindrom Penafiannya dengan alamat link https://kukasihberita.blogspot.com/2018/07/najib-terus-dengan-sindrom-penafiannya.html