Judul : MAS Tamatkan Kontrak Lebih 50 Juruterbang
link : MAS Tamatkan Kontrak Lebih 50 Juruterbang
MAS Tamatkan Kontrak Lebih 50 Juruterbang
SERAMAI 55 juruterbang kontrak berusia 60 tahun ke atas, dimaklumkan oleh Malaysia Airlines perkhidmatan mereka ditamatkan setelah diyakinkan sebelumnya perkhidmatan mereka terjamin, kata seorang veteran yang terjejas.
Kapten Rajkumar Henry, 63, berkata Malaysia Airlines mengabaikan perjanjian kontraknya dan menamatkannya tanpa pampasan.
Dengan hampir 17,000 jam terbang sebagai juruterbang, beliau mengaku sebagai salah seorang pekerja yang paling lama berkhidmat iaitu selama 46 tahun, selain berkata beliau diperlakukan secara tidak adil walaupun pernah bersama mengharung ribut sepanjang berkhidmat.
Rajkumar berkata beliau merupakan salah seorang daripada kumpulan awal yang ditawarkan kontrak lima tahun setelah mencapai usia 60 tahun iaitu usia persaraan di syarikat itu.
Namun, beliau diberhentikan awal dengan baki dua tahun kontrak, situasi serupa yang dihadapi oleh juruterbang kontrak lain dalam kategori usianya, walaupun tempoh kontrak mereka mungkin sedikit berbeza.
“Pada 2018, saya berumur 60 tahun dan merupakan salah satu kumpulan awal yang ditawarkan kontrak lima tahun.
“Selepas itu selama bertahun-tahun, mereka yang mencapai usia 60 tahun diberi pelanjutan kontrak lima tahun.
“Tetapi sekarang (separuh jalan melalui tempoh kontrak) pihak pengurusan syarikat penerbangan telah memutuskan untuk menghentikan semua juruterbang (kontrak) berusia 60 tahun ke atas kerana Covid-19,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Setelah bergabung dengan Malaysia Airlines System (MAS) pada 1975 sebagai pelatih jurutera darat pesawat, beliau terus menjadi jurutera penerbangan selama 12 tahun dengan syarikat penerbangan.
Kemudian kerana peluang, tekad dan cita-cita, Rajkumar mencapai impiannya apabila beliau menjalani latihan juruterbang pada 1993, ketika berusia 35 tahun.
Syarikat penerbangan nasional itu juga menanggung kos untuk kursus-kursus juruterbangnya.
Pada 1994, beliau menjadi juruterbang, dan pada 2000 dilantik sebagai Kapten.
Sebagai juruterbang, beliau telah menerbangkan Boeing 737, Airbus A330 dan Airbus A350, sementara sebagai jurutera penerbangan, beliau telah menerbangkan Airbus A300 dan DC10-30.
Katanya, walaupun ramai sudah berpindah sejak Malaysia Airlines Systems (MAS) menjenamakan semula sebagai Malaysian Airlines Berhad (MAB) pada 2015, beliau bagaimanapun tetap setia dengan syarikat penerbangan itu.
Tahun lalu, pandemik Covid-19 menyerang dunia, menutup sempadan. Ini bermaksud industri penerbangan menjadi salah satu industri yang paling teruk dilanda krisis.
Sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan kos, pada April lalu syarikat penerbangan memperkenalkan pengurangan gaji untuk kategori berpendapatan tinggi, hampir 60 peratus, agar kewangan syarikat dapat diimbangkan, katanya.
Beliau menambah, mereka juga diarahkan mengambil cuti tanpa gaji selama enam minggu tahun lepas.
Walaupun tidak senang dengan keputusan itu, Rajkumar berkata, tidak ada yang membantah kerana syarikat itu berjanji semua staf akan dipertahankan.
Rajkumar berkata, walaupun dalam mesyuarat e-Town dengan pihak atasan tahun lalu, mereka yakin akan dikekalkan.
Namun, pada Disember 2020, Rajkumar berkata syarikat itu menarik kata-kata mereka dan mengeluarkan surat penamatan kepada 55 juruterbang kontrak itu, dengan memetik masalah Covid-19 selain kewangan sebagai punca.
Ditamatkan tanpa pampasan
Beliau berkata syarikat itu tidak menawarkan pampasan tetapi hanya memberikan notis tiga bulan.
Tambahnya, mereka diberitahu dalam mesyuarat e-Town, syarikat itu mungkin tidak menamatkan juruterbang ini, dan jika gagal mereka akan membayar baki kontrak.
“Kami fikir kami selamat dan tiba-tiba datang Disember, mereka keluar surat penamatan yang mengatakan kami telah diberhentikan kerana Covid-19.
“Kami diberi notis tiga bulan biasa dan kami telah bekerja untuk tempoh itu. Secara teknikal, mereka bayar kami sebab kami bekerja, bukan pampasan,” katanya.
Rajkumar berkata mereka telah mempersoalkan mengenai kontrak mereka, pembayaran baki sepanjang tempoh kontrak dan penamatan, yang mana syarikat itu sekadar menyebut Covid-19 dan krisis kewangan sebagai alasan.
“Kami tak dapat pampasan. Kami ada tulis surat kepada syarikat dan kami tanya kenapa ada perubahan fikiran untuk memberhentikan pekerja kontrak.
“Malah kami bertanya mengenai pihak pengurusan yang berkata baki kontrak akan dibayar jika ditamatkan.
“Untuk itu, kami menerima jawapan yang mengatakan ia dikatakan dengan niat baik sebelum ini tetapi sekarang syarikat itu tidak menjana wang, oleh itu tak dapat bayar. Inilah balasan yang kami dapat,” katanya.
Rajkumar berkata, walaupun beliau faham syarikat penerbangan itu tidak menghasilkan wang, ia masih mempunyai tanggungjawab perundangan terhadap juruterbang ini.
Beliau turut berkata, walaupun ada beberapa cadangan untuk ditamatkan secara baik, namun ianya ditolak.
“Saya boleh terima hakikat mereka mahu kurangkan kos dan ingin memberhentikan kami kerana itu, tetapi hormatilah kontrak dan bayar baki kami.
“Saya rasa itu adil; atau datang ke meja rundingan dan mari kita usaha cari jalan keluar.
“Mereka tak buat. Kami cadangkan beberapa perkara dan mereka tolak semuanya,” katanya, sambil menambah semua 55 juruterbang telah menjadi sebahagian daripada pertumbuhan syarikat penerbangan sejak 1970-an.
Contoh buruk
Rajkumar berkata penamatan kontrak mereka akan berkuat kuasa mulai 1 Mac.
“Walaupun sudah seminggu ditamatkan, kami masih mengharapkan penyelesaian cara elok.
“Kami hanya mahu baki kontrak kami dibayar. Saya telah berkhidmat selama hampir 46 tahun dan saya tidak mahu meninggalkan Malaysia Airlines dengan cara ini, kerana harus berjuang untuk dapatkan hak saya.
“Mereka bagi kami notis tiga bulan tetapi bukan pampasan,” kata Rajkumar.
Tambahnya, semua 55 juruterbang akan mencari jalan lain jika tidak ada penyelesaian dapat dicapai.
Beliau turut berkata Malaysia Airlines, sebagai syarikat penerbangan nasional, akan mewujudkan contoh buruk jika dibenarkan memberhentikan pekerja tanpa bayar pampasan.
“Sekiranya mereka boleh buat macam ini kepada pekerja yang telah bekerja 30 hingga 40 tahun di syarikat mereka, maka mereka menunjukkan contoh buruk di Malaysia.
“Sekiranya Malaysia Airlines buat tidak tahu, setiap syarikat lain akan mula ikut,” katanya.
Rajkumar menambah beliau sedih melihat keadaan Malaysia Airlines hari ini.
Tahun lalu, syarikat penerbangan nasional itu meminta bantuan kewangan dari pemegang saham tunggal Khazanah Nasional Bhd kerana perbincangan penyusunan semula hutang dengan pemiutang dan peminjam telah melepasi tarikh akhir 11 Oktober.
Desas-desus di pasaran berkata Malaysia Airlines mencari modal sebanyak AS$500 juta dari Khazanah.
Pada 14 November, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengulangi kenyataan kerajaan akan menyerahkannya kepada Khazanah untuk melihat penstrukturan hutang Malaysia Airlines.
Syarikat penerbangan nasional telah memenangi banyak anugerah dari industri penerbangan, dinobatkan sebagai ‘TheWorld’s 5-Star Airline’ oleh Skytrax beberapa kali (2009, 2012 dan 2013) dan pengiktirafan dari World Travel Awards sebagai ‘Asia’s Leading Airline’ (2010, 2011 dan 2013).
Sumber: The Malaysian Insight
Demikianlah Artikel MAS Tamatkan Kontrak Lebih 50 Juruterbang
Sekianlah artikel MAS Tamatkan Kontrak Lebih 50 Juruterbang kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel MAS Tamatkan Kontrak Lebih 50 Juruterbang dengan alamat link https://kukasihberita.blogspot.com/2021/02/mas-tamatkan-kontrak-lebih-50.html