Judul : Undi 18: Kelebihan Kepada Parti Mana Sebenarnya?
link : Undi 18: Kelebihan Kepada Parti Mana Sebenarnya?
Undi 18: Kelebihan Kepada Parti Mana Sebenarnya?
Namun sejauh mana pertambahan itu dapat memberi kelebihan kepada parti majoriti Melayu masih belum dapat dipastikan, kata mereka.
Penganalisis dan pergerakan siswa ini juga sangsi sama ada kerajaan akan melaksanakan pindaan tersebut menjelang pilihan raya umum akan datang.
Menurut pergerakan pelajar Persatuan Pengundi Muda (Undi 18), walau belum mendapat data tepat, mereka menjangka peningkatan tersebut akan menguntungkan parti majoriti Melayu.
Jangkaan itu hanya berdasarkan maklum balas yang diberikan golongan muda kepada persatuan tersebut, kata pengasas bersama Undi 18, Qyira Yusri.
“Mengikut (maklum balas diterima), pengundi muda akan menyumbang peratusan besar pengundi Melayu Islam berbanding generasi ini.
“Ini bermakna ia mungkin akan memberi kelebihan kepada parti utama Melayu seperti Bersatu, PAS dan Umno,” katanya .
Beliau bagaimanapun menjelaskan, ia tidak bermaksud parti bukan majoriti Melayu seperti PKR, Amanah, Muda dan Pejuang tidak berpeluang untuk menang pilihan raya.
Parti seperti PKR, Amanah, Muda dan Pejuang juga mempunyai peluang sama untuk meraih sokongan pengundi baharu tersebut yang masih belum membuat pilihan, katanya.
“Apa pun sebenarnya pengundi muda masih tidak mempunyai pilihan parti mereka lagi, kerana itu mereka hanya akan mengundi parti yang dilihat dapat membawa isu mereka seperti isu ekonomi.”
RUU bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai 2019.
RUU itu diluluskan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat dan tanpa undi belah bahagi di Dewan Negara.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan tiga pindaan itu yang juga digelar sebagai Undi 18 dijangka akan dilaksanakan pada Julai 2021.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar pula menolak andaian bahawa pertambahan pengundi Melayu Islam akan memberi kelebihan kepada parti Melayu.
Hisomuddin berkata bacaan seperti itu dibuat terlalu awal kerana pada hakikatnya pola pemikiran generasi kini dalam mengundi tidak lagi sama dengan paksi pemikiran generasi sebelum ini.
Jelasnya, pemikiran generasi terdahulu lebih terikat dengan kekuatan politik kepartian namun faktor seperti urbanisasi dan teknologi maklumat mengubah trend pengundi muda kini.
Persepsi pengundi boleh berubah pantas, hatta atas kesilapan kecil contohnya apabila pemimpin politik membuat kenyataan tidak cermat yang mengundang kemarahan di media maya, katanya.
Katanya situasi itu memberi kesukaran ini bagi kerajaan mengawal naratif dengan menyuntik elemen propaganda dalam pemikiran rakyat sepertimana dahulu.
Katanya, pengundi muda Melayu juga termasuk dalam kategori kelompok yang sukar dikawal.
Lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan isu pengangguran, hilang pekerjaan, boleh memberikan refleksi negatif undi mereka kepada kerajaan, kata Hisomuddin.
“Oleh itu, tidak mudah untuk mendakwa kemasukan majoriti pengundi baharu Melayu ini akan menguntungkan parti politik sentrik Melayu.
“Banyak elemen yang mampu mengubah keadaan ini apabila menjelang pilihan raya nanti,” katanya.
Beliau juga setuju dengan andaian Undi 18 bahawa peluang kepada semua parti untuk menarik pengundi muda terbuka luas.
“Komposisi ini penting kerana kelompok ini mungkin menjadi penentu kemenangan bagi mana mana pihak yang akan membentuk kerajaan nanti,” katanya.
Kerajaan tidak bersedia
Komitmen Perikatan Nasional (PN) meneruskan agenda Undi 18 juga bagaimanapun menjadi tanya ini apabila Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim menyatakan kerajaan PH tergesa-gesa dalam memutuskannya.
Undi 18 mempersoalkan komitmen kerajaan PN melaksanakan pindaan dan mengingatkan Rais bahawa RUU itu diluluskan di Dewan Negara dengan sokongan senator dari kerajaan dan pembangkang.
“Kenyataan Rais itu seolah tidak menghormati Parlimen termasuk ahli Parlimen, senator yang mengundi RUU itu,” katanya.
Penganalisis politik seperti pensyarah Universiti Utara Malaysia Rusdi Omar pula berpandangan kerajaan tidak serius untuk meneruskan agenda itu biarpun selepas setahun mentadbir.
Beliau mengingatkan, biar apa pun alasannya, kerajaan perlu bersedia untuk melaksanakan Undi 18 kerana ia sudah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen dengan sokongan majoriti.
Malah kegagalan kerajaan untuk meneruskan agenda itu akan membangkitkan lagi kemarahan rakyat terhadap kerajaan sedia ada, katanya.
“Kalau betul kerajaan hendak dapat sokongan semua lapisan terutama golongan muda, (sama ada) komited atau tak komited, kerajaan kena kena buat juga sebab majoriti bersetuju.
“Apabila diluluskan di Parlimen, kalau dibentangkan pun sekali lagi takkan kerajaan nak tarik balik. Itu akan mencerminkan bahawa kerajaan itu sebenarnya dalam keadaan tidak baik,” katanya.
Hisomuddin pula menjangkakan kerajaan masih dapat melengah-lengahkannya dengan menggunakan alasan teknikal bagi menangguhkan pelaksanaan Undi 18 buat sementara waktu.
Dakwanya, terdapat kemungkinan besar pertambahan pengundi baharu dan pendaftaran automatik ini tidak akan digunakan jika Parlimen dibubarkan dalam tahun ini.
Hisomuddin melihat kerajaan belum bersedia untuk melengkapkan data pemilih sebelum Julai bagi menghadapi pertambahan hampir 8 juta undi baharu termasuk pendaftara pengundi automatik.
“Tidak ada kenyataan khusus melainkan jawapan di Parlimen oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berhubung persediaan Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jabatan Pendaftaran Negara melaksanakan RUU Undi 18 yang telah diluluskan di Parlimen,” katanya.
Beliau juga melihat kerajaan tidak sedia mengambil risiko dengan gelombang dan kecenderungan politik dari segmen pengundi muda yang sukar dibaca.
Tambahnya, kemasukan undi dari segmen rapuh dan tidak jelas akan menimbulkan kesukaran bagi mana blok parti termasuk parti kerajaan untuk mengawal arus sokongan dalam pilihan raya nanti.
“Bila mana keadaan di luar kawalan, ini keadaan yang sangat tidak kondusif untuk kerajaan melaksanakannya,” katanya.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada bulan lalu memberi jaminan akan memohon bagi membubarkan Parlimen sebaik jangkitan Covid-19 reda.
Ia bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, katanya ketika menjawab kegusaran pelbagai pihak mengenai pelaksanaan darurat yang diumumkan bagi menangani pandemik.
Jawatankuasa bebas yang turut dianggotai pembangkang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat bermula 11 Januari dapat ditamatkan lebih awal daripada tarikh 1 Ogos.
Pembangkang melihat darurat itu hanya bertujuan untuk menjamin kedudukan kerajaan PN dan kedudukan Muhyiddin yang berdepan krisis sokongan.
Sumber: The Malaysian Insight
Demikianlah Artikel Undi 18: Kelebihan Kepada Parti Mana Sebenarnya?
Sekianlah artikel Undi 18: Kelebihan Kepada Parti Mana Sebenarnya? kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Undi 18: Kelebihan Kepada Parti Mana Sebenarnya? dengan alamat link https://kukasihberita.blogspot.com/2021/02/undi-18-kelebihan-kepada-parti-mana.html