Judul : Kalau nak menang, lantik Dr Mahathir jadi PM, kata Zaid
link : Kalau nak menang, lantik Dr Mahathir jadi PM, kata Zaid
Kalau nak menang, lantik Dr Mahathir jadi PM, kata Zaid
Bekas menteri itu berkata dengan menamakan Dr Mahathir sebagai PM bayangan, ia bukan sahaja menambahkan pergolakan dalaman Umno, tetapi mencetuskan perubahan sikap pengundi tegar BN.
PETALING JAYA: Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan keengganan Pakatan Harapan (PH) untuk menamakan secara jelas orang yang akan dilantik menjadi perdana menteri sekiranya menang pada pilihan raya umum akan datang.
“Jika pun PH ada calon, pemimpinnya tidak memberitahu kita. Ini amat pelik. Ia menunjukkan, mereka tidak berani membuat keputusan walaupun mengenai perkara paling dasar,” kata Zaid yang menyertai DAP pada Februari lalu.
Sebaliknya, Zaid berkata gabungan itu perlu menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri kerana pemimpin veteran itu mampu meraih sokongan kuat termasuk daripada pengundi Felda dan seterusnya memastikan kemenangan PH.
Untuk berbuat demikian, kata Zaid, parti yang menganggotai PH perlu melupakan ego mereka dan cuba memujuk Dr Mahathir kembali memegang jawatan yang pernah disandangnya selama 22 tahun sehingga 2003.
Katanya ini termasuk menyerahkan sejumlah kerusi milik yang dituntut pembangkang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), parti serpihan Umno yang dipengerusikan Dr Mahathir.
“Berikanlah PPBM bilangan kerusi yang adil, dan jadikan Dr Mahathir calon PM kita, seterusnya biarlah ahli Umno bergolak sama sendiri.
“Itu sahaja ruang untuk kita menang,” kata Zaid dalam penulisannya hari ini.
Beliau berkata dengan terus mengelak soal calon perdana menteri, Pakatan Harapan tidak memberikan keyakinan kepada pengundi.
“Meneka siapa menjadi PM bukan sesuatu yang kita mahu dalam mengharungi perang pilihan raya umum ke-14,” kata Zaid.
Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Malaysia Bersatu (PPBM) yang dipengerusikan Dr Mahathir bercadang menyertai pilihan raya umum akan datang sebagai satu entiti yang menggunakan logo dan nama sama.
Ia bagaimanapun masih belum memenuhi pelbagai desakan daripada penyokong mahupun musuh politiknya untuk menamakan perdana menteri bayangan.
Sabtu lalu, salah seorang pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman, yang bertindak keluar daripada parti itu mempersoalkan Pakatan Harapan yang masih belum muktamad mengenai siapa bakal memimpin kerajaan sekiranya menang pada pilihan raya umum yang perlu diadakan menjelang pertengahan 2018.
“Rakyat ingin tahu siapa yang benar benar akan dilantik menjadi Perdana Menteri untuk membolehkan mereka membuat keputusan parti mana yang akan diundi dalam PRU 14,” kata Kamarulzaman.
Kebimbangan mengenai Dr Mahathir
Zaid menjelaskan dengan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri bayangan, PH mampu meraih sokongan pengundi di penempatan Felda yang selama ini dilihat tegar menyokong Barisan Nasional.
Beliau memberi amaran sikap membisu PH mengenai calon PM menyerlahkan serangan Umno yang mendakwa pemimpin DAP, Lim Kit Siang bakal menjadi perdana menteri di bawah gabungan itu.
“Ia kerana jawapan kita terhadap propaganda BN tidak memuaskan. Sekadar memberitahu orang Melayu yang Lim tidak berminat jadi PM belum cukup menjawab kebimbangan mereka,” tulis Zaid.
Zaid mengakui ramai di kalangan penyokong pembangkang yang bimbang sekiranya Dr Mahathir dilantik PM disebabkan sejarah dulu yang menyaksikan bekas pemimpin itu menyekat kebebasan.
Bagaimanapun, jelas Zaid, usia Dr Mahathir yang sudah lanjut bermakna ia hanya simbolik menyatu padukan kerajaan PH.
Beliau mengingatkan penyokong PH yang perubahan kepada kerajaan yang mereka impikan tidak semestinya berlaku serta merta, sebaliknya memakan masa lama.
Zaid memberi contoh Revolusi Perancis dan Revolusi Iran, dua peristiwa yang menggulingkan sistem yang sedia ada tetapi memakan masa berdekad sebelum kestabilan dikecapi.
“Pengajarannya, ia mengambil beberapa lagi pilihan raya sebelum kita dapat mengecapi kesemua yang kita impikan. Ia akan mengambil beberapa lagi pergolakan politik sebelum kita dapat meraikan demokrasi sebenar dan mengembalikan kedaulatan undang-undang di Malaysia.”
Demikianlah Artikel Kalau nak menang, lantik Dr Mahathir jadi PM, kata Zaid
Sekianlah artikel Kalau nak menang, lantik Dr Mahathir jadi PM, kata Zaid kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Kalau nak menang, lantik Dr Mahathir jadi PM, kata Zaid dengan alamat link https://kukasihberita.blogspot.com/2017/05/kalau-nak-menang-lantik-dr-mahathir.html